Terjadi suatu peristiwa, seorang pemuda telah bertanya kepada
guru tasawufnya tentang perbezaan antara orang-orang syariat dan
orang-orang hakikat dalam memahami agama Islam dan kenapa ilmu hakikat
tidak berkembang luas. Kemudian sang guru berkata..
“Untuk aku
menjawab soalanmu itu wahai muridku, pergilah bertanya kepada kedua
mereka akan dua persoalan ini iaitu yang pertama, adakah Allah
itu berkuasa dan yang kedua, sembahyang itu apa hukumnya? Pergilah ke
kampung sebelah kerana disana kamu akan menemui ulama syariat dan ulama
hakikat. Bertanyalah kepada orang-orang kampung disana untuk mencari
mereka.”
Akur atas arahan gurunya itu lantas si pemuda tanpa
banyak bicara terus ke rumah ulama syariat yang terkenal dikampung
sebelah dengan bertanya-tanya arah rumahnya kepada orang kampung.
Sesampainya si pemuda itu dirumah ulama syariat tersebut dengan ramah
mesra si pemuda diajak masuk ke dalam rumah yang serba sederhana itu.
Sang ulama syariat kelihatan kemas berjubah putih dan berserban,
ditambah raut wajahnya yang bersih tanda beliau seorang yang soleh. Si
pemuda dilayan seperti anak sendiri dengan dijamu makan malam sebelum
sesi dialog dijalankan. Usai makan malam terus sahaja sang ulama syariat
memulakan bicara.
“Ada urusan apa sehingga kamu bertandang ke rumah saya ini wahai anak muda?”
Tanya sang ulama syariat dengan nada yang redup.
“Sebenarnya saya ingin mendapatkan jawapan diatas dua persoalan yang
ingin saya ajukan berkenaan dengan agama Islam kita ini kepada ustaz.
Soalannya ialah adakah Allah itu berkuasa dan yang kedua, sembahyang itu
apa hukumnya?”
Setelah diam sejenak lalu sang ulama syariat menarik nafas dalam-dalam dan dengan tenang memberikan jawapannya.
“Ya, Allah itu memang berkuasa dan sembahyang itu hukumnya adalah wajib.”
Setelah mendapatkan jawaban daripada ulama syariat itu maka pemuda itu
pulang sambil hatinya berazam untuk bertemu dengan ulama hakikat pula.
Keesokkan harinya si pemuda mula merayau-rayau dikampung itu untuk
mencari sang ulama hakikat. Puas bertanya dengan orang kampung maka
tengah hari itu si pemuda bertemu dengan seorang makcik yang akhirnya
bersetuju menunjukkan beliau dimana sang ulama hakikat berada.
Sesampainya ditempat yang dituju kelihatan seorang lelaki tua sedang
membersihkan halaman rumahnya yang luas dihiasi taman bunga yang cantik.
Rumahnya begitu besar dan mewah. Sang ulama hakikat yang berkulit gelap
itu kelihatan memakai pakaian yang agak lusuh berbanding rumahnya yang
begitu mewah. Sudah sepuluh minit si pemuda berbual-bual ringan dengan
sang ulama hakikat namun kelihatan seolah-olah tiada tanda-tanda sang
ulama hakikat mahu menjemput beliau masuk ke dalam rumahnya yang mewah
itu.
“Ada apa urusan nak jumpa saya ini?”
Tanya sang
ulama hakikat itu sambil tersenyum. Kemudian si pemuda bertanyakan
soalan yang sama sebagaimana yang ditanyakan kepada sang ulama syariat.
“Sebenarnya saya ingin mendapatkan jawapan diatas dua persoalan yang
ingin saya ajukan berkenaan dengan agama Islam kita ini kepada ustaz.
Soalannya ialah adakah Allah itu berkuasa dan yang kedua, sembahyang itu
apa hukumnya?”
Kelihatan sang ulama hakikat tersenyum sahaja mendengar soalan itu lantas dengan tahkik beliau menjawab..
“Wahai anak muda ketahuilah yang sebenarnya bahawa Allah itu tidak berkuasa dan sembahyang itu hukumnya adalah haram.”
Terperanjat besar si pemuda mendengar jawapan sang ulama hakikat yang
bersahaja itu. Sukar rasanya si pemuda mahu menghadam jawapan yang baru
disampaikan kepadanya itu. Tanpa berlengah-lengah maka si pemuda itu
mohon undur diri kemudian pulang ke rumahnya dengan seribu persoalan
yang berlegar-legar dibenak kepalanya.
Sebagai seorang muslim
taat yang baru hendak menjinak-jinakkan diri dengan dunia tasawuf, si
pemuda berasa keliru dengan jawaban yang diberikan oleh sang ulama
hakikat. Setahu beliau pelajaran tasawuf itu bersangkutan dengan ilmu
hakikat dan ma’rifat. Mendengar jawapan daripada sang ulama hakikat itu
membuatkan si pemuda berasa takut untuk meneruskan pelajaran tasawuf
dengan gurunya dan mengambil keputusan untuk tidak lagi berguru dengan
guru tasawufnya lantas mengambil keputusan untuk berguru dengan sang
ulama syariat. Beliau mulai meragui perjalanan ilmu hakikat dan dalam
hati beliau bergumam..
“Kalau nak dibandingkan dari segi akhlak
pun akhlak sang ulama syariat lebih bagus daripada akhlak sang ulama
hakikat. Walaupun sang ulama syariat hidup dalam keadaan sederhana namun
aku dijemput masuk ke dalam rumahnya lantas dijamu dengan makanan yang
enak berbanding sang ulama hakikat yang kedekut.. sudahlah tidak
dijemput masuk ke dalam rumahnya, setitik air pun tidak diberinya malah
dengan dirinya sahaja pun sudah kedekut. Lihat sahaja pakaiannya yang
lusuh itu.”
Keesokkannya, si pemuda dengan tergesa-gesa menuju
ke rumah sang ulama syariat dan menceritakan kepada beliau hasil
dialognya dengan sang ulama hakikat. Mendengar penjelasan si pemuda,
sang ulama syariat berasa marah lantas mengarahkan anak-anak muridnya
untuk menangkap sang ulama hakikat. Maka dengan sekejap sahaja penduduk
kampung itu digemparkan dengan cerita bahawa sang ulama hakikat itu
telah membawa ilmu sesat dikampung itu.
Sang ulama hakikat
dapat ditangkap dengan bantuan orang-orang kampung. Tangannya diikat
dibelakang lalu dipaksa untuk berjalan. Kelihatan terdapat segelintir
dari orang-orang kampung yang bertindak memukul muka dan badan beliau
serta tidak kurang juga ada yang melempari beliau dengan batu-batu kecil
kerana tidak dapat menahan rasa marah. Pun begitu sang ulama hakikat
tetap berdiam namun air matanya tak henti-henti mengalir. Mungkin beliau
menahan sakit.
Tiba dihalaman rumah sang ulama syariat lalu
dengan kasar tubuh sang ulama hakikat yang sudah tua itu ditolak dengan
keras lantas beliau terdorong ke depan lalu jatuh tersungkur. Si pemuda
yang sedari tadi menunggu dirumah sang ulama syariat terkejut dengan
situasi itu. Beliau tidak menyangka sampai begitu malang nasib yang
menimpa sang ulama hakikat sehingga diperlaku begitu. Namun apalah
dayanya untuk mengekang kemarahan orang-orang kampung yang sedang
meluap-luap itu. Kemudian setelah meredakan suasana, sang ulama syariat
menghampiri sang ulama hakikat lalu bertanya kepada beliau..
“Benarkah anda menjawab ‘Allah itu tidak berkuasa dan sembahyang itu
hukumnya adalah haram’ sebagai menjawab pertanya pemuda ini?” sambil
jari telunjuknya diarahkan tepat pada si pemuda.
Dengan tenang sang ulama hakikat menjawab “Ya”.
Kemudian sang ulama syariat bertanya lagi.
“Adakah anda masih dengan pendirian anda atau anda mahu bertaubat?”
Tanya sang ulama syariat tegas. Lalu dijawab dengan tenang oleh sang ulama hakikat..
“Untuk kesalahan yang mana lalu saya perlu bertaubat wahai hakim?”
“Untuk kesalahan anda yang mengatakan Allah tidak berkuasa dan sembahyang itu hukumnya haram!”
“Oh begitu.. beginilah tuan hakim, pada saya jawapan saya itulah yang
teramat benar namun jika tuan hakim tidak menyetujuinya tidak apa-apa
dan terserahlah kepada kebijaksanaan tuan hakim untuk mengadili saya
kerana tuan adalah hakim dinegeri ini.”
Habis sahaja sang ulama
hakikat berkata begitu lantas beliau dilempari dengan puluhan sepatu
oleh penduduk kampung dan ada juga yang berteriak agar beliau dibunuh.
Sang ulama syariat terdiam dan merenung dalam seolah-olah memikirkan
sesuatu yang berat. Akhirnya sang ulama syariat membuat keputusan agar
sang ulama hakikat diberi tempoh sehingga esok untuk bertaubat dan jika
tidak beliau akan dihukum bunuh. Setelah itu sang ulama hakikat diikat
pada sebatang pokok nangka yang berada dihalaman rumah sang ulama
syariat dalam posisi duduk menghadap kiblat sambil dikawal oleh beberapa
orang-orang kampung.
Kini, saatnya pun telah tiba namun sang
ulama hakikat tetap tidak mahu bertaubat daripada pendiriannya. Ramai
yang merasa pelik dengan pendirian sang ulama hakikat dan yang lebih
kusut lagi ialah fikiran si pemuda itu. Tiba-tiba si pemuda merasa
kasihan dan merasa bersalah mengenang keadaan malang yang menimpa sang
ulama hakikat adalah hasil daripada perbuatannya. Namun nasi sudah
menjadi bubur. Perlahan-lahan si pemuda mendekati sang ulama hakikat
untuk memohon maaf. Aneh.. kelihatan sang ulama hakikat itu hanya
tersenyum dan dengan senang hati mahu memaafkan si pemuda. Ketika si
pemuda itu mahu beredar tiba-tiba ia mendengar sang ulama hakikat
membacakan sepotong ayat Al Quran dengan nada yang riang..
“Wa qul jaa alhaq wazahaqol baathil innal baathila kana zahuuqo.”
Ucap beliau berulang-ulang sambil memandang kearah seseorang lantas
mukanya tiba-tiba kelihatan berseri-seri dalam senyuman yang
menggembirakan. Si pemuda lantas menoleh kearah orang itu dan apa yang
beliau lihat ialah kelibat bekas guru tasawuf beliau diantara celahan
penduduk kampung yang ingin menyaksikan hukuman pancung yang bakal
dijalankan. Tak lama kemudian hukuman bunuh pun dilaksanakan maka
tamatlah riwayat sang ulama hakikat dibawah mata pedang sang algojo.
Seluruh penduduk kampung bersorak gembira tanda kemenangan dipihak
mereka yang berjaya membunuh seorang pembawa ajaran sesat.
Selang beberapa hari oleh kerana rasa ingin tahu yang meluap-luap maka
si pemuda bersegera mengadap bekas guru tasawufnya. Si pemuda berasa
hairan mengapa sang ulama hakikat membacakan ayat 81 daripada surah
al-Isra’ seraya melihat kelibat bekas guru tasawufnya itu?.
“Wahai muridku, marilah duduk dihadapanku ini.”
Ujar guru tasawuf seraya melihat kedatangan muridnya itu. Si pemuda
terkedu.. tidak tahu apa yang hendak dikatakan. Fikiran terasa kosong
dan segala persoalan yang hendak diajukan terasa tiba-tiba hilang entah
tertinggal dimana.
“Baiklah muridku, atas persoalanmu yang dahulu itu maka akan aku jawab sekarang ini.”
Lembut sahaja bicaranya.
“Adapun persoalanmu tentang perbezaan antara orang-orang syariat dan
orang-orang hakikat dalam memahami agama Islam akan aku jawab seperti
berikut. Yang pertama, orang syariat akan menjawab setiap persoalan
melalui ‘bahasa’ ilmu syariat manakala orang hakikat akan menjawab
setiap persoalan melalui ‘bahasa’ ilmu hakikat. Jawaban sang ulama
syariat adalah benar menurut ‘bahasa’ ilmu syariat dan jawaban sang
ulama hakikat juga benar menurut ‘bahasa’ ilmu hakikat.”
“bagaimana begitu wahai tuan guru?” Tanya si pemuda.
“Begini… adalah benar apabila sang ulama hakikat memberitahu kamu
bahawa Allah itu tidak berkuasa sebab melalui peraturan ilmu hakikat,
perkataan ‘Allah’ itu adalah dirujuk semata-mata sebagai isim bagi zat
tuhan kita sahaja. Ini bermakna yang berkuasa pada hakikatnya adalah zat
tuhan kita dan bukannya yang berkuasa itu isimNya. Perkataan ‘Allah’
itu pada hakikatnya adalah gelar bagi zat tuhan kita. Adapun gelaran itu
hakikatnya adalah khabar maka khabar tiada ain wujud. Jika sesuatu itu
tiada ain wujudnya maka mustahil dikatakan ia mempunyai kuasa. Adakah
kamu faham?”
Si pemuda mengangguk lemah sambil merenung lantai.
“Adalah sesuatu yang benar juga apabila sang ulama hakikat memberitahu kamu bahawa sembahyang itu hukumnya adalah haram.”
“bagaimana begitu wahai tuan guru?” Tanya si pemuda.
“Begini… sebenarnya tiada ibadat sembah-menyembah dalam agama Islam
namun yang ada Cuma ibadat solat. Ya, ianya adalah solat dan bukannya
sembahyang. Cuba kamu fahamkan betul-betul maksud firman Allah dalam
surah al-Kafirun ayat 6 yang bermaksud “Bagi kamu agama kamu dan bagiku
agamaku”. Ini menunjukkan cara ibadat orang kafir tidak sama langsung
dengan cara ibadat orang muslim. Perkataan sembahyang itu adalah asalnya
terbit daripada upacara ibadat masyarakat hindu-budha untuk menyembah
tuhan yang bernama Hyang. Maka upacara ibadat itu dinamakan upacara
sembahHyang. Solat itu bukan sembah dan tuhan kita bukannya Hyang tetapi
Allah. Jadi kita sebagai orang muslim adalah haram sembahHyang kerana
itu adalah ibadat penganut hindu-budha. Sesungguhnya solat itu bukan
sembah tetapi solat itu ialah sebagaimana yang disabdakan oleh
Rasulullah SAW yang bermaksud, “Apabila seseorang kamu sedang solat
sesungguhnya dia sedang berbicara dengan tuhannya…”.
Si pemuda semakin tertunduk.
“Jadi, adakah kamu sudah faham mengapa sang ulama hakikat itu berkata
bahawa Allah itu tidak berkuasa dan sembahyang itu hukumnya adalah
haram?”
“Ya tuan guru, sekarang barulah jelas.”
“Yang
kedua, orang-orang syariat mempelajari ilmu-ilmu hukum maka mereka
menyelesaikan sesuatu masalah juga dengan hukum sementara orang-orang
hakikat mempelajari ilmu-ilmu ma’rifatullah maka mereka menyelesaikan
sesuatu masalah juga dengan Allah.”
Ketika ini lamunan si
pemuda menyorot kembali peristiwa yang telah berlaku dimana kata-kata
guru tasawuf itu ada benarnya juga. Memang benar sang ulama syariat
telah menyelesaikan masalah yang berlaku dengan hukuman bunuh terhadap
sang ulama hakikat sedang sang ulama hakikat menyelesaikan masalah
antara dia dan si pemuda itu dengan kemaafan sesuai dengan sifat tuhan
yang Maha Pemaaf dan Maha Pengampun.
“Adapun persoalanmu
tentang kenapa ilmu hakikat tidak berkembang-luas maka akan aku jawab
seperti berikut. Tidak berkembang-luasnya ilmu hakikat adalah disebabkan
masih adanya orang-orang yang seperti kamu!”
Bentak sang guru tasawuf yang membuatkan darah si pemuda berderau.
“bagaimana begitu wahai tuan guru?” Tanya si pemuda.
“Kerana kejahilan kamu dalam memahami hal-ehwal hakikat terus sahaja
kamu tanpa usul periksa menghukum sang ulama hakikat sebagai tidak betul
dan berburuk sangka terhadap beliau lalu kamu memfitnahi beliau
dihadapan sang ulama syariat sehingga sang ulama hakikat tertangkap lalu
diseksa dan dipancung oleh kalian. Jika semua ulama hakikat
sewenang-wenangnya dibunuh tanpa usul periksa justeru kerana itulah ilmu
hakikat tidak berkembang-luas.”
“Tapi tuan guru, bagaimana
saya tidak terkhilaf sedang akhlak sang ulama hakikat itu tidak
mencerminkan beliau sebagai orang yang beragama! Sang ulama hakikat
langsung tidak menjemputku masuk ke dalam rumahnya yang besar lagi mewah
itu dan langsung tidak memberiku walau setitik air bahkan dengan
dirinya sahaja pun amat kedekut. Lihat sahaja pakaiannya yang lusuh
itu.”
“Awas lidahmu dalam berkata-kata wahai anak muda! Telahku
katakan tadi bahawa kamu memiliki sifat buruk sangka. Ketahuilah bahawa
rumah besar lagi mewah yang kamu lihat itu bukanlah milik sang ulama
hakikat tersebut sebaliknya adalah milik majikan beliau dan beliau hanya
mengambil upah sebagai tukang kebun disitu. Adapun pakaiannya yang
lusuh itu maka itu sahajalah harta benda yang beliau ada dan beliau
hidup hanya untuk mengabdikan dirinya kepada Allah.”
“Bagaimana tuan guru boleh tahu segala yang terperinci tentang sang ulama hakikat itu?”
Tanya si pemuda hairan.
“Kerana orang yang kalian bunuh itu adalah guru tasawufku maka dengan
itu sebutir lagi permata yang indah telah hilang. Telahku jawab semua
persoalanmu maka pergilah kamu kepangkuan guru syariatmu iaitu sang
ulama syariat.”
Si pemuda itu terkejut lantas berkata…
“Tapi wahai guruku, aku telah insaf dan ingin kembali berguru denganmu wahai guruku.. terimalah aku kembali wahai guruku!!”
“Ketahuilah wahai anak muda, aku enggan mengambilmu adalah semata-mata kerana keselamatanmu dan bukan kerana aku membencimu.”
“Aku tidak faham akan maksud tuan guru??”
“Pergi sahajalah kembali kepangkuan sang ulama syariat kerana kamu akan
selamat disana dan jangan kamu sesekali mengaku aku adalah gurumu kelak
kamu akan mengerti akan maksud tindakanku ini.”
Dengan hati
yang berat dan sayu si pemuda berjalan menuju ke rumah sang ulama
syariat untuk berguru dengannya dan beliau diterima sebagai murid.
Selang beberapa hari, keadaan kampung tiba-tiba kecoh kembali. Dengar
khabarnya seorang lagi pengamal ilmu sesat telah ditangkap dan kali ini
pengamal ajaran sesat itu berasal dari kampung sebelah. Dari kejauhan
kelihatan berbondong-bondong orang ramai sedang dalam perjalanan menuju
ke rumah sang ulama syariat sambil menyungsung seorang lelaki yang telah
dikenalpasti sebagai pengamal atau guru ajaran sesat. Dari jauh si
pemuda dapat saksikan lelaki itu dipukul dan ditendang malah ada yang
membalingnya dengan batu-batu kecil sehingga pakaiannya koyak-rabak.
Rupa-rupanya lelaki yang pakaiannya telah koyak-rabak itu adalah sang
guru tasawufnya.
Maka mengertilah si pemuda itu akan maksud
tindakkan sang guru tasawuf yang tidak mahu mengambil beliau sebagai
anak murid dan beliau hanya mampu mengalirkan air mata sambil menahan
sebak melihat sang guru tasawuf itu diperlakukan seperti itu. Esoknya
hukuman pancung terhadap sang guru tasawuf itu dilaksanakan maka sebutir
lagi permata yang indah telah hilang sirna dari negeri itu……… Didalam
hati si pemuda merintih..
“Ya Allah.. berapa ramaikah lagi ahli
tasawuf yang mesti dikorbankan semata-mata mahu membuatkan aku mengerti
mengapa ilmu hakikat tidak dapat berkembang-luas? Cukup Ya Allah cukup
kerana sekarang aku sudah mengerti….”
sangat tersentuh jiwaku
ReplyDeletesangat tersentuh jiwaku
ReplyDelete