Sunday 19 May 2013

TIPS HIKMAH;-KASYAF MENGKASYAF

 


Kasyaf bermaksud terbuka, yakni terbuka tabir pemisah antara hamba dengan Tuhan. Kasyaf juga bermaksud Allah membukakan seseorang supaya mampu melihat perkara yang tidak dapat dilihat orang lain.

Maka kasyaf dari sudut sufi dan tassawuf pula ialah, terbukanya tabir hijab yang selama ini menutup pandangan kepada alam lain. Telah dikatakan bahawa hijab yang menutup antara kita dengan Allah ada 70 ribu hijab, manakala hijab yang menutup antara Allah dengan kita adalah tiada. Allah akan membuka hijab-hijab ini satu persatu jika kita ikhlas menghampirkan diri kepada Nya.

-KASYAF HAQ-
adalah merupakan kasyaf pemberian dari Allah, di mana Allah telah membuka tabir baginya untuk melihat atau mengetahui perkara yang ghaib. Kasyaf jenis ini adalah kasyaf tanpa adanya keterlibatan makhluk jin. Biasanya kasyaf jenis ini ada dua keadaan.

1- Kasyaf tanpa diminta iaitu Allah memberikan kebolehan kasyaf kepada seseorang yang tidak meminta untuk menjadi kasyaf. Allah berkuasa memberikan apa-apa kepada sesiapa sahaja yang dikehendakinya.

2- Kasyaf yang diminta iaitu Allah mengabulkan permintaan seseorang yang ingin kasyaf lalu Allah menjadikan orang tersebut kasyaf. Kebiasaannya para mukasyafah (orang-orang yang kasyaf) di jalan ini telah melalui riadah-riadah kerohanian yang telah diijazahkan oleh Guru mereka melalui jalan Tarekat Kesufian kebiasaannya mereka itu tiada bertujuan untuk mencari kehebatan dan kelebihan duniawi tetapi ingin Ma’rifatullah (mengenal Allah), dan mencapai tahap keyakinan yang kejab lagi unggul.

Terpecah yakin itu kepada beberapa jenisnya

1- Ilmul Yakin dibangsakan ia keyakinan berdasarkan ilmu.

2- Ainul Yakin dibangsakan ia keyakinan berdasarkan penglihatan.

3- Haqqul Yakin dibangsakan ia keyakinan yang Haq tiada bergoyah lagi.

4- Kamalul Yakin dibangsakan ia keyakinan yang sebenar lagi hakiki.

Walaubagaimana pun, kasyaf yang diberikan oleh Allah adalah boleh jadi kerana Allah menyukai kita, atau juga Allah ingin menguji kita dalam bentuk pemberian kasyaf. Namun kita hendaklah menganggap ia sebagai ujian supaya tidak timbul sifat riak, ujub dan sombong diri.

Oleh itu, bagi menjaga pemberian Allah, dan bagi menjaga diri dari tercemar dengan sifat mazmumah, Para Mukasyafah Haq kebiasaannya akan mematuhi adab seorang kasyaf atau adab mukasyafah iaitu:

- Merahsiakan bahawa diri seorang kasyaf- kecuali kepada orang yang paling dipercayai sahaja. Dan jika terbongkar sekalipun bahawa dirinya kasyaf, hanya mendiamkan diri, tidak menjawab "ya" dan tidak menjawab "tidak".

- Merahsiakan segala keburukan orang yang “terlihat” olehnya dan tidak boleh menceritakan keburukan orang lain. Dengan kata lainnya menjaga aib orang itu.

- Menjaga rahsia alam iaitu tidak sewenang-wenangnya menceritakan apa yang dilihatnya secara kasyaf dengan sebarangan orang.

-KASYAF AWAL BATHIL-
Merupakan kasyaf yang pada awalnya sahaja kasyaf bathil tapi bertukar menjadi kasyaf tanpa jin. Ini kerana, jin yang menyebabkan seseorang itu kasyaf telah keluar tapi orang tersebut masih lagi mempunyai kebolehan kasyaf. Ini disebabkan mata dalamnya telah terbuka tanpa ditutup. Ibarat jin keluar bilik tapi tidak tutup lampu.

-KASYAF BATHIL-
Merupakan kasyaf yang diakibatkan oleh kehadiran makhluk jin dalam tubuh seseorang itu. Tidak kira samada orang itu ada gangguan, seperti asyik atau saka, atau pernah mempelajari ilmu tertentu yang ada keterlibatan jin yang boleh menyebabkan dia kasyaf dan dinamakan ia "kasyaf bunian".

Dijeniskan kasyaf itu kepada:

1- Kasyaf Mata- Kebolehan melihat alam ghaib.

2- Kasyaf Telinga- Kebolehan mendengar alam ghaib.

3- Kasyaf Hati/ Mata Basyirah- Kebolehan mengetahui sesuatu yang tersembunyi.

4- Kasyaf Ladunni- Kebolehan mendapat ilmu secara terus dari Allah.

5- Kasyaf Rasa- Kebolehan “merasa” alam ghaib, dan apa-apa yang berlaku di alam tersebut. Biasanya kasyaf jenis ini saling berhubung dengan lain-lain jenis kasyaf yang juga ada pada orang tersebut.

Kebiasaannya orang yang mulai kasyaf akan melalui peringkat yang berikut:

Peringkat Pertama- “Tahu”-
Pada peringkat ini, seseorang itu menjadi tahu akan keberadaan atau kejadian alam ghaib.

Peringkat Kedua- “Rasa”-
Kemudian, dari peringkat tahu menjadi peringkat rasa, orang tersebut mulai merasai keberadaan dan kejadian alam ghaib.

Peringkat Ketiga- “Dengar”-
Kemudian dia akan mulai mendengar bunyi-bunyi yang berasal dari alam ghaib. Bunyi yang mulanya kedengaran sayup-sayup sahaja, kemudian akan meningkat kejelasannya dari masa ke masa.

Peringkat Keempat- “Nampak”-
Kemudian beliau akan mula ternampak lintasan gambar difikirannya, beransur-ansur akan mulai pandai menggunakan penglihatan dalam dan mulai nampak bayangan dan bentuk, kemudian pergerakan, kemudian gambar bergerak yang kurang jelas, kemudian gambar bergerak yang jelas. Akhirnya gambar bergerak yang jelas lagi terang.

Setiap orang yang mulai kasyaf berbeza, ada yang melalui peringkat yang telah disebutkan tadi dengan cepat dan ada yang lambat pula. Ada juga yang hanya mendapat sejenis kasyaf sahaja contohnya hanya kasyaf telinga sahaja.

Walau apa pun ada hikmahnya dan sebab musababnya itu hanya Allah sahaja yang tahu.

Kekadang mereka yang menggunakan pandangan kasyaf melihat seolah pandangan mereka dilapisi oleh suatu warna. Maka ini adalah pencahayaan pandangan kasyaf dan juga dikenali sebagai bayangan yang dilihatnya. Terbahagi kepada beberapa tahap atau warna:

1- Hitam/Gelap:
Perlu lebih lagi amalan.

2- Kuning.

3- Biru.

4- Hijau.

5- Putih.

6- Merah.
Perlu memperbetulkan semula niat amalan.

Kasyaf yang mempunyai pencahayaan merah adalah kasyaf bathil, ia digunakan oleh dukun, bomoh dan ahli kebatinan pertapaan. Kasyaf sebegini perlu jauhi kerana ada kehadiran jin yang membantu penglihatan kasyaf tersebut.

Wallahua’lam.

1 comment:

Blogroll