Thursday 2 May 2013

khasiat kulit kayu manis

Khasiat kayu manis
 


Kayu manis atau CINNAMON mempunyai pelbagai kelebihan untuk merawat kulit secara semula jadi tanpa kesan sampingan berbahaya bahan kimia.

Sejenis rempah yang diambil dari bahagian kulit pokok dalam kalangan keluarga Cinnamomum, kayu manis selalunya digunakan untuk menambah rasa dalam makanan sama ada yang berperisa pedas atau manis.

Berasal dari Sri Lanka, kayu manis sama ada dikisar atau dibentuk menjadi minyak, mempunyai khasiat kepada kulit kerana ia mampu melancarkan peredaran darah serta menyalurkan nutrien ke kulit.

Kayu manis adalah rempah berkualiti yang dihargai semua bangsa sehingga pada satu tahap sekitar kurun pertama, sejarah menunjukkan nilai 350 gram kayu manis bersamaan dengan lima kilogram perak.

Pakar perubatan zaman pertengahan juga menggunakan kayu manis sebagai ubat untuk merawat batuk, serak, sakit tekak, sakit perut, kembung, cirit-birit dan senak perut.

Ia juga mampu bertindak sebagai antiseptik semula jadi yang boleh membunuh kuman. Oleh itu, sekiranya tangan terluka dan tidak sempat mencari ubat, kayu manis boleh digunakan dengan disapu sedikit pada luka untuk mematikan kuman, namun ia agak pedih.

Kayu manis adalah bahan kecantikan semula jadi dan bertindak sebagai ejen yang berkesan mengurangkan parut, menghilangkan jerawat dan melegakan kegatalan kulit kepala.

Campuran minyak kayu manis dan minyak zaitun mampu mengurangkan garis halus pada wajah kerana ia melembapkan kulit, seterusnya membuatkan kulit lebih lembut dan kurang berkedut termasuk di bahagian hujung mata, selain boleh menggantikan pelembap bibir.

Lebih menakjubkan, kayu manis juga mampu bertindak membersihkan dan menyuburkan kulit kepala, dengan cara menyingkirkan kulit mati dan menggalakkan pengaliran darah di bahagian berkenaan.

Beberapa kajian menunjukkan bahawa kayu manis mungkin mempunyai kesan kawalan gula dalam darah, menjadikan ia bermanfaat terutama bagi orang yang mengidap diabetes.

Kayu manis juga menunjukkan kebolehan menakjubkan dengan menghentikan jangkitan yis yang gagal dimusnahkan ubatan lain.

Dalam kajian yang diterbitkan penyelidik di Jabatan Pertanian Amerika Syarikat di Maryland, kayu manis didapati mengurangkan percambahan sel kanser leukemia dan limfoma, selain mempunyai kesan antipembekuan darah.

No comments:

Post a Comment

Blogroll